JAKARTA – Vokalis band
Noah, Ariel yang bebas Julai lalu selepas hukuman penjara tiga setengah
tahun kerana kesalahan mengedar video pornografi, dipanggil lagi oleh
pihak polis untuk menjadi saksi satu kes melibatkan dirinya dan seorang
pramugari.
Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham dijadual hadir untuk beri keterangan bulan depan.
“Ya… akan dipanggil
sebagai saksi,” kata Ketua Jenayah dan Kekerasan, Ditreskrimum Ajun
Ketua Komisioner, Helmy Santika dipetik Kompas.
Menurut Helmy, Ariel,
31, dipanggil kali kedua selepas dia tidak hadir sebelum ini atas alasan
sibuk dengan konsert jelajah 25 bandar di Indonesia bersama band Noah.
“Minggu depan Ariel akan dipanggil untuk kali kedua. Kalau tidak datang, dia akan dipanggil secara paksa,” kata Helmy.
Sebelum ini, seorang
pramugari, Magdalena Awuy melaporkan nama baiknya terjejas ekoran
laporan sebuah media online Indonesia. Magdalena dituduh sebagai
pasangan dalam skandal terbaru Ariel.
Ariel dan Noah kini
terlibat dalam konsert jelajah di lima negara. Sejak kes itu disiasat
oleh polis bermula 21 November lalu, beberapa saksi telah dipanggil,
antaranya Jeanne Margareth Dumais yang membuat laporan.
Turut disiasat
Magdalena, rakannya, Wiyana dan Renitasari serta majikan mangsa, Mahsuri
Ahmad. Ariel yang dahulunya dikenali sebagai Ariel Peterpan dibebaskan
Julai lalu dengan bersyarat.
Antara syarat yang
ditetapkan ialah Ariel tidak boleh lagi mengulangi perbuatannya dan
diwajibkan melapor diri ke penjara secara rutin sehingga dibebaskan
secara mutlak pada 21 September 2013.
Ariel dijatuhi hukuman
penjara tiga setengah tahun dan denda Rp250 juta oleh Mahkamah Daerah
Bandùng pada 31 Januari 2011 selepas didapati bersalah mengedar video
pornografi di mana beliau sendiri dipercayai sebagai pelakunya bersama
dua orang artis wanita iaitu Cut Tari dan seorang lagi yang dipercayai
sebagai Luna Maya.
Selepas penyiaran video
itu di internet menjadi isu hangat, Cut Tari telah membuat pengakuan
terbuka bahawa beliau adalah orang yang beraksi dengan Ariel dalam satu
daripada video pornografi itu dan telah memohon maaf secara terbuka
kepada suami dan keluarga dan seluruh rakyat Indonesia atas perlakuannya
itu.
Bagaimanapun Ariel
sehingga hari ini tidak pernah mengakui perbuatannya, begitu juga
dengan kekasihnya Luna Maya. Pasangan kekasih itu telah memutuskan
hubungan mereka semasa Ariel sedang menjalani hukuman penjara.
Ariel telah ditahan
sejak 23 Jun 2010 dan menjalani sidang perbicaraan di mahkamah sebanyak
14 kali. Perbicaraan itu yang bermula pada 22 November 2010, juga
mencatat sejarah kerana ia merupakan kes pornografi yang pertama yang
diadili di mahkamah Indonesia. – SinarHarian