JOHOR BAHRU : Sudah pelbagai ikhtiar dibuat hingga akhirnya seorang bapa
terpaksa meletakkan gambar serta kisah anak perempuannya yang hilang
dipercayai mengikut teman lelaki sejak Mac lalu di laman sosial
facebook, kelmarin.
Harapannya hanya satu, iaitu bertemu semula dengan anaknya, Siti Azliza
Johan, 27, guru yang bertugas di sebuah sekolah rendah di Kota Tinggi.
Menceritakan kisah kehilangan anaknya, Johan Tahir, 52, yang juga guru
berkata, keluarganya mula merasai perubahan pada anaknya itu sejak tahun
lalu.
“Kami mengesyaki sesuatu yang buruk menimpanya kerana dia yang kami
didik dengan penuh kasih sayang dan pegangan agama tiba-tiba berubah
mendadak sehingga sanggup melawan nasihat ibu bapa,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu bermula sejak anaknya berkenalan dengan seorang lelaki berusia 30-an.
Johan berkata, dia pernah bertemu dengan lelaki berkenaan sebelum anaknya itu menghilangkan diri.
“Kami pernah menghubungi telefon bimbitnya, namun talian berkenaan sudah
ditamatkan. Dia mungkin sudah menukar nombor bagi mengelak kami
mengesannya.
“Kami sudah ke rumah keluarga teman lelaki anak saya, namun keluarga
lelaki terbabit mengatakan mereka tidak tahu menahu mengenai perkara
itu,” katanya.
Katanya, anaknya itu gagal melaporkan diri untuk bertugas sejak Mac
lalu, malah teman lelaki wanita berkenaan yang berkhidmat di sebuah
jabatan kerajaan di Putrajaya juga dikatakan sudah dikenakan tindakan
tatatertib.
Johan berkata, keluarganya sedih dengan perkara itu dan berharap anaknya sedar dan kembali ke pangkuan keluarga.
Beliau mengharapkan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat
mengenai Siti Azliza supaya menghubunginya di talian 019-7986520 atau
07-8952486.